“Kami Pernah Menyangka Ia Anugerah…”
Abang saya seorang Al-Hafiz al-Quran.
Namun sebelum beliau bergelar hafiz, sekitar usia 9 tahun, beliau sudah dikenali sebagai “bomoh muda kampung”. Orang datang meminta bantuan, dan beliau pula pergi ke masjid-masjid untuk merawat orang.
Ketika itu beliau belum menghafaz al-Quran.
Yang lebih luar biasa, beliau sering bermimpi didatangi seseorang yang mengajarkan ayat-ayat al-Quran untuk digunakan dalam rawatan. Dari kecil sehingga dewasa, mimpi-mimpi itu berterusan.
Pada masa itu, kami menyangka ia adalah satu kelebihan.
Satu anugerah.
Satu “gift”.
Selepas tamat hafazan dan bergelar Al-Hafiz, pengalaman itu masih berterusan. Beliau masih menerima pelbagai “ilmu” melalui mimpi. Bukan sekadar rawatan, malah ilmu persilatan juga.
Beliau belajar silat melalui mimpi.
Beliau menerima pelbagai objek dalam mimpi seperti cincin wafaq, mangkuk wafaq, keris dan bermacam-macam lagi.
Melihat jin?
Melihat makhluk halus?
Bagi beliau ketika itu, sudah terlalu biasa sehingga sukar membezakan sama ada yang dilihat itu manusia atau jin.
Apabila ditanya tentang keturunan kami, ya, memang ada dalam keluarga kami yang menjadi bomoh, bidan kampung dan juga pengamal persilatan tradisional.
Tetapi satu perkara yang kami tidak sedar ketika itu ialah:
Mengapa abang saya sentiasa sakit?
Sepanjang hidupnya beliau sering diuji dengan pelbagai masalah kesihatan sehingga pernah didiagnosis dengan kanser otak tahap akhir. Alhamdulillah, Allah masih mengurniakan kesembuhan.
Sehinggalah kira-kira 12 tahun yang lalu, beliau tergerak hati untuk mengambil sanad Rawatan Ruqyah Syar’iyyah bersama Tuan Guru Hassan Ishak.
Niatnya cukup baik.
Beliau ingin membantu ummah dan mendalami ilmu perubatan Islam.
Program talaqqi tersebut berlangsung selama 5 hari 4 malam. Hari terakhir diperuntukkan khas untuk sesi rawatan para pelajar.
Pada malam itu, saya dan ibu turut hadir kerana kami juga mempunyai masalah kesihatan yang memerlukan rawatan.
Ibu mengalami masalah lutut yang sangat kronik sehingga tulang rawannya hampir habis.
Saya pula mengalami sakit sendi di seluruh badan.
Dan malam itulah segala-galanya terbongkar.
Ketika abang saya dirawat, tiba-tiba beliau tidak sedarkan diri.
Di hadapan kami semua, beliau bangun dalam keadaan seperti mahu bertarung dan melakukan gerakan silat pencak terhadap ustaz.
Ustaz meneruskan rawatan sehingga akhirnya abang saya muntah dengan sangat teruk.
Selepas sedar, abang saya bertanya:
“Apa yang berlaku kepada saya, ustaz?”
Ustaz mula bertanya tentang sejarah keluarga kami serta pengalaman-pengalaman pelik yang pernah berlaku.
Setelah mendengar semuanya, ustaz hanya menggelengkan kepala.
Kemudian beliau berkata:
“Ini semua saka keturunan.”
Kami semua terdiam.
Abang saya bertanya:
“Saka ustaz? Tapi saya tak pernah membuat apa-apa perjanjian dengan jin. Saya hafaz al-Quran.”
Jawapan ustaz masih saya ingat sehingga hari ini:
“Manusia mudah tertipu dengan tipu daya jin. Jika jin tidak dapat menyesatkan manusia melalui kejahatan, dia akan datang melalui kebaikan.”
Ayat itu benar-benar menusuk hati saya.
Kemudian ustaz berpesan lagi:
“Tinggalkan semua ilmu yang datang melalui mimpi. Tinggalkan ilmu yang tidak ada kepastian. Manusia yang benar ialah manusia yang belajar secara nyata, melalui guru yang jelas, bukan melalui mimpi.”
Ketika itu ibu saya pula terkejut.
Beliau mula bercerita:
“Ustaz, saya selalu bermimpi ada orang mengajar saya mengurut. Sudah hampir 30 tahun saya mengurut suami saya.”
Ustaz memandang ibu dan berkata:
“Patutlah lutut akak habis.”
Ibu saya kebingungan.
Beliau bertanya:
“Apa maksud ustaz?”
Lalu ustaz menjelaskan bahawa ilmu yang datang tanpa sumber yang jelas perlu diperhalusi dengan sangat berhati-hati.
Kemudian berlaku sesuatu yang tidak pernah kami sangka.
Tiba-tiba ibu saya ketawa dengan suara yang bukan seperti dirinya.
Suara seorang wanita tua.
Meremang bulu roma kami.
Lalu suara itu berkata sambil memandang saya:
“Budak ini pun aku dah ajar mengurut.”
Saya tergamam.
Memang sejak kecil saya suka mengurut ahli keluarga.
Seawal umur 8 atau 9 tahun.
Arwah ayah selalu meminta saya mengurut kepalanya ketika memandu.
“Dik, tolong urut kepala ayah. Sedap adik urut…”
Sampai hari ini saya masih rindukan arwah ayah.
Semoga Allah mengurniakan tempat terbaik buat beliau.
Waktu kecil dahulu, apabila dipuji pandai mengurut, saya semakin rajin mengurut.
Saya seronok apabila orang kata saya berbakat.
Saya fikir itu satu kelebihan.
Satu anugerah.
Satu “gift”.
Namun pada malam itu, segala persepsi kami berubah.
Bermula dari situlah proses rawatan dan pemulihan kami sekeluarga berlangsung.
Abang saya, ibu saya dan saya sendiri menjalani proses ruqyah yang panjang.
Ustaz tidak sekadar merawat.
Beliau membimbing.
Beliau mengajar kami disiplin amalan harian, penjagaan akidah, serta kepentingan menuntut ilmu melalui jalan yang sahih.
Namun manusia mudah lalai.
Apabila sudah sihat sedikit, amalan yang dipesan mula ditinggalkan.
Kami menyangka masalah itu telah selesai.
Rupanya tidak.
Sehinggalah Allah mengizinkan kami terus dibimbing dan diperbetulkan sedikit demi sedikit.
Hari ini saya menulis bukan untuk menakutkan sesiapa.
Bukan juga untuk menghukum sesiapa.
Tetapi sebagai peringatan.
Jangan mudah menganggap setiap perkara luar biasa itu sebagai kelebihan.
Jangan mudah menganggap setiap mimpi itu petunjuk.
Jangan mudah menganggap setiap kebolehan itu anugerah yang pasti datang daripada Allah tanpa perlu disemak dan dinilai.
Ilmu mempunyai disiplin.
Ilmu mempunyai sanad.
Ilmu mempunyai guru.
Ilmu mempunyai proses.
Jika benar-benar ingin mencari kebenaran, carilah guru yang jelas akidahnya, jelas ilmunya dan jelas susur galur pengajiannya.
Kerana kami pernah melalui fasa menyangka semuanya adalah “gift”.
Sedangkan rupa-rupanya kami sedang diuji.
Dan satu perkara yang saya pelajari:
Membaca al-Quran tidak menjadikan seseorang kebal daripada ujian.
Belajar agama tidak menjadikan seseorang mustahil ditipu.
Kerana syaitan dan jin tidak pernah berhenti mencari jalan untuk memperdayakan manusia.
Alhamdulillah, Allah masih menyayangi kami.
Allah mempertemukan kami dengan guru yang membimbing kepada jalan syariat yang benar.
Yang salah kami jadikan pengajaran.
Yang benar kami cuba amalkan.
Dan perjalanan mencari kebenaran itu masih diteruskan sehingga hari ini.
Semoga Allah memelihara kita semua daripada fitnah yang kita nampak dan yang tidak kita nampak.
Amin Ya Rabbal ’Alamin.
sumber : https://www.facebook.com/share/1G4m65b71P/
Leave a Reply